No Giliran Anda

Sunday 17 June 2012



Tercetus perubahan disebabkan fitrah untuk menjadi seorang wanita solehah. Melalui kesedaran dan hidayah yang diterima dariNya, mendorong Irma Hasmie untuk menjadi lebih baik di hari mendatang. Mengiyakan keinginan naluri, lalu setiap langkah perjalanannya ditemani bersama gaya hidup berlandaskan syariat.
Meskipun berubah imej, gadis berdarah kacukan Pakistan dan Cina ini begitu rancak dengan kariernya. Rezekinya semakin melimpah ruah bak cendawan tumbuh selepas hujan. Meskipun mengakui jadual hariannya padat dan sibuk, tidak sedikit pun Irma Hasmie menolak akan kehadiran cinta sekali gus untuk membina mahligai bahagia bersama Reza Syah Ameer Datuk Radzuan.
Ceritakan Perkembangan Terkini Irma?
Syukur, alhamdulillah. Irma baru sahaja selesai menunaikan ibadah umrah pada 8 Jun yang lalu. Kunjungan umrah kali ini berjalan dengan lancar bersama-sama jemaah pakej khas ‘all ladies umrah’ dengan kerjasama Triways Hujjaj International.
Selain itu, Irma juga bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan semakin melimpah ruah. Alhamdulillah, Irma kini mengacara program bual bicara ‘Assalamualaikum” di TV Al Hijrah pada setiap hujung minggu. Malah tidak cukup dengan itu, tugasan turut terisi padat apabila dilantik menjadi duta tudung D’haja.
Irma juga kini sedang rancak mempromosikan buku yang bertajuk ‘SMILE’. Buku ini merupakan karya pertama Irma bersama rakan Zamri Mohamad yang diterbitkan oleh PTS. Berkongsi rezeki yang dikurniakan, sebahagian dari hasil jualan buku tersebut akan disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Al-Muhibbin & Islamic Relief Malaysia.
Umum Tahu Kisah Pertunangan Irma, Bagaimana Sebenarnya Kisah Percintaan Kalian Berdua?
Perkenalan kami amat singkat, bertemu dan diperkenalkan oleh keluarganya ketika berada di Kota Makkah al Mukarramah. Tidak sempat bercinta pun di sana. Apa yang boleh Irma katakan, diperingkat awalnya Irma cukup senang bersama dengannya.
Dua minggu selepas pulang ke tanahair keluarganya datang merisik dan dua minggu kemudian pula kami bertunang iaitu pada 24 Mac 2012. Irma menganggap jodoh bersama Reza adalah suatu anugerah Allah S.W.T.
Apakah Keperibadian Istimewa Yang Dimiliki Oleh Reza Yang Memikat Hati Irma?
Bercerita tentang peribadi si dia yang cukup memikat dan menarik perhatian Irma adalah usahanya dalam memperbaiki dan mengarahkan langkah hidup dalam membawa kebaikan pada diri dan keluarganya. Usahanya amat Irma kagumi dan percaya Reza akan turut membimbing Irma ke arah kebaikan dan membantu Irma untuk menjadi isteri yang solehah, Insya Allah.
Selain itu, sejujurnya Irma turut terpesona dengan ketulusan dan keyakinan yang ada pada dirinya. Bagi Irma apa yang diperlukan oleh seorang isteri ada pada dirinya. Reza boleh membahagiakan Irma dan berharap agar Reza dapat menerima Irma seadanya.
Dipertemukan Jodoh Di Kota Suci Mekah Tentu Ada Sesuatu Yang Istimewa, Kongsikan Perasaan Itu?
Ini anugerah dari Allah yang cukup indah. Alhamdulillah syukur Irma panjatkan ke hadrat Ilahi. Siapa menduga, menjadi tetamu Allah di kota suci telah menemukan Irma dengan Reza yang ketika itu turut sama menunaikan umrah bersama keluarganya. Begitu besar kekuasaan Allah untuk hambanya. Tiada butir bicara yang dapat Irma ungkapkan untuk membuktikan betapa Irma cukup menghargainya. Syukur alhamdulillah.
Tempoh Tidak Sampai 4 Bulan Untuk Membuat Persiapan Perkahwinan, Itu Satu Jangka Masa Yang Cukup Singkat. Bagaimana Irma Dapat Memastikan Serba Serbinya Sempurna Di Hari Ppersandingan?
Memang masa yang ada agak suntuk. Tapi alhamdulillah dengan pertolongan ahli keluarga dan kerjasama daripada beberapa pihak yang terlibat semuanya, InsyaAllah segala urusan dapat dipermudahkan dan akan dilaksanakan semampu dan sedaya kami untuk menjayakan majlis yang dirancang.
Di kesempatan ini Irma ingin sekali merakamkan jutaan terima kasih banyak-banyak pada pihak yang terlibat antaranya kepada Ezuwan Ismail, Hatta Dolmat dan Wanpa yang telah merealisaiskan busana impian Irma. Manakala untuk seleksi hijab ditaja oleh D’haja Boutique.
Irma memberi kepercayaan penuh kepada De Classaflora untuk berkarya dalam menghasilkan pelaminan mengikut konsep yang Irma tentukan. Manakala merakamkan momen indah sepanjang majlis pula Awan Studio dipertanggungjawabkan.
Manakala dalam membuat persiapan rekaan kad perkahwinan, ia diilhamkan oleh TERRAPIXEL Image Therapy. Begitu juga untuk memastikan majlis berjalan lancar, ia diatur oleh Madetill Event Management (MEM). Kuzie Catering pula adalah katerer yang akan menyajikan hidangan yang enak kepada semua jemputan di majlis perkahwinan Irma. Alhamdulillah, kerjasama daripada semua pihak mempermudahkan urusan. Insya Allah.
Bagaimana Pula Persiapan Diri Yang Dilakukan Sebelum Bergelar Isteri?
Cuba yang temampu untuk melengkapkan diri dengan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Irma juga sering mendekatkan diri dengan perkara-perkara yang mengarah keapda kebaikan untuk mencapai kebahagian berkeluarga. Semoga kebahagiaan yang dibina ini akan berkekalan dan mendapat keredhaan Allah. InsyaAllah.
Apakah Impian Perkahwinan Irma?
Mencari ketenangan dan keredhaan Allah serta keberkatan dalam bercinta kerana keberkatan antara jaminan mencari kebahagiaan.
Destinasi Bulan Madu? Kenapa Memilih Negara Tersebut?
Tiada perancangan pun, tetapi di sudut hati ini teringin sangat agar dapat mengerjakan haji bersama pasangan hidup setelah diijab kabulkan. Insya Allah.
Erti Ikatan Perkahwinan Pada Irma?
Semua sedia maklum, dari segi syarak, nikah bererti ikatan yg menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan yang diharuskan berkahwin. Dan ianya adalah tututan Fitrah serta ianya adalah Sunnah Rasulullah saw. Sebagaimana Sabda Nabi yang bermaksud : “Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah ia daripada golonganku.” (riwayat Ibn Majah)
Setelah Berkahwin Adakah Irma Akan Terus Aktif Di Dalam Lakonan, Pengacaraan Atau Pun Modeling?
InsyaAllah, jika ia satu keperluan. Rezeki datangnya daripada Allah. Bagi Irma berkerja itu juga suatu ibadah asalkan kita tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh syariat islam. Wallahualam.

Sumber:Pesona Pengantin

No comments:

Post a Comment