No Giliran Anda

Thursday 14 June 2012



 AKTIVITI BERSAMA ANAK
Berikut adalah senarai sepuluh aktiviti yang dicadangkan untuk dilakukan bersama anak – anak setiaphari. Mungkin tidak semua dapat dilaksanakan sekali gus pada setiap hari, namun anggaplah ini sebagai ‘list to do’ untuk aktiviti yang patut kita lakukan hari ini. Semoga senarai ini juga dapat membantu yang lain diluar sana untuk beraktiviti bersama anak – anak.

  1. Membaca untuk anak - anak
  2. Meminta anak - anak membaca
  3. Membaca/ mengahafal/ mendengar bacaan Al Quran
  4. Berlatih kemahiran matematik bersama
  5. Menulis
  6. Belajar/ mendalami Islam
  7. Berbual
  8. Aktiviti mendengar dan menulis
  9. Belajar/ memahami Bahasa Arab
  10. Menyelia dan mempraktikkan budaya kebersihan dan kekemasan

1. Membaca untuk anak kita setiap hari
Kelebihan membaca untuk anak anda adalah: 
  • Kita akan mempunyai masa yang berkualiti bersama anak -anak, dan menunjukkan kepada mereka bahawa mereka adalah penting bagi kita
  • Ini membantu menambah perkataan – perkataan baru dalam kamus anak - anak
  • Ini membantu anak – anak kita belajar menyebut perkataan dengan betul
  • Aktiviti ini membantu anak – anak mempelajari lenggok bahasa, dimana perlu berhenti seketika, di mana perlu ditekankan
  • Ianya membantu melatih kemahiran mendengar, tahap perhatian dan keupayaan untuk fokus pada diri anak – anak
  • Ini membolehkan berlakunya perkembangan dalam pemahaman anak – anak terhadap dunia dengan memberikan pendedahan baru kepada mereka
  • Ianya juga memberi peluang kepada anak – anak untuk bertanyakan soalan atau menyatakan pendapat dan pandangan mereka.
Teruskan membaca untuk anak – anak selagi mana mereka menunjukkan minat terhadap aktiviti ini.
Antara bahan yang boleh dibaca: buku cerita, Al Quran, Al Hadith, artikel, surat khabar
Tip: Pastikan berbincang selepas membacakan untuk mereka 
2. Meminta anak – anak membaca
Kemahiran membaca adalah sama seperti kemahiran – kemahiran lain, perlukan latihan supaya untuk menguasainya
Membaca setiap hari adalah penting!
Bahan untuk dibaca anak – anak adalah bergantung kepada tahap umur masing – masing: Huruf, perkataan, ayat, perenggan, cerita, Al Hadith, Al Quran
Mintalah anak – anak kita membacakan untuk kita dan berilah semangat kepada mereka untuk terus membaca.
3. Membaca/ mengahafal/ mendengar bacaan Al Quran 
Semak kebersamaan kita dengan Al Quran setiap hari.
  • Cuba untuk menghafal sesuatu yang baru setiap hari, walaupun hanya satu ayat.
  • Mendengar bacaan Al Quran (mp3 player dan sebagainya) 
 4. Berlatih kemahiran matematik bersama.
Matematik ada di rumah kita. Jadi berlatih asas matematik bersama anak – anak adalah sesuatu yang menyeronokkan dan dalam masa yang sama matematik adalah satu kemahiran yang penting. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti:
  • Menyelesaikan soalan yang diberikan
  • Bermain teka – teki matematik
  • Kelas matematik
  • Lebihkan fokus kepada aplikasi matematik yang mudah dan sememangnya digunakan dalam kehidupan harian seperti menyukat, menganggar, mengira dan menyelesaikan masalah. Cuba dapatkan matematik pada setiap ruang kita bersama dengan mereka!
5. Menulis
Minta anak – anak kita menulis setiap hari untuk memperbaiki tulisan mereka dalam masa yang sama mereka dapat menyatakan apa yang mereka rasa atau alami melalui tulisan.
Ada beberapa cadangan:
  • Menyalin semula. Minta anak – anak menyalin semula huruf, nombor, perkataan, ayat, peranggan dari pelbagai sumber seperti buku, surat khabar, tanda isyarat, label, ayat Al Quran dan juga Hadith
  • Minta mereka untuk membacakan semula apa yang telah mereka tulis 
  • Minta mereka menyalin senarai seperti barang keperluan dapur, senarai ke pasar raya, judul buku yang sudah di baca, nama adik beradik dan ahli keluarga. 
  • Anak – anak juga boleh diminta menulis surat .
 6. Belajar/ mendalami Islam 
  • Ajarkan kepada anak – anak kita tentang konsep – konsep asas yang penting dalam Islam seperti rukun Islam dan rukun Iman.
  • Mempraktikkan bacaan doa dan etika harian sebagai seorang muslim (semasa bangun tidur, hendak tidur, sebelum makan, semasa makan, selepas makan, keluar dan masuk bilik air, beri salam, bersin dan sendawa)
  • Membuat praktikal solat bersama anak – anak  (mengikut pada tahap anak – anak itu sendiri). Kalaupun tidak pada setiap hari, jadikan ini sebagai rutin mingguan supaya kita dapat memastikan mereka dapat belajar dan akhirnya mendirikan solat dengan betul.
 7. Berbual
 Masa makan adalah masa yang paling sesuai untuk berbicara dengan anak – anak. Luangkan masa untuk bercakap dengan anak – anak sejak mereka masih kecil lagi.
Jangan lupa menjaga beberapa perkara semasa berbual dengan mereka:   
  • Menjaga eye contact
  • Jangan menyampuk
  • Mendengar dengan perhatian
  • Memberikan tindak balas atau respon yang sesuai
 Pada pendapat saya, sekiranya anak – anak tersilap sebut, mereka perlu dibetulkan dengan lembut . 
8. Aktiviti mendengar dan menulis
Tuliskan/ sediakan untuk anak – anak beberapa perkataan atau bahan untuk dibaca, kemudian kita menyalin apa yang dibacakan. Aktiviti ini boleh dilakukan secara bergilir, dimana kita pula membaca kemudian anak – anak menulis apa yang dibacakan untuknya.
  • Aktiviti ini boleh melatih kesemua empat kemahiran dalam bahasa iaitu menulis, membaca, bercakap dan mendengar
  • Ianya membantu dalam melatih ingatan anak – anak.
  • Kajian menunjukkan bahawa menulis apa yang didengar dapat merangsang perkembangan bahasa anak – anak.
 9. Belajar/ memahami dan bercakap Bahasa Arab
Cuba untuk mempelajari bahasa Arab setiap hari, sama ada melalui kelas secara formal atau tidak formal dengan cuba berbual dalam bahasa ini antara satu sama lain. Bahasa Arab adalah bahasa Al Quran dan bahasa agama kita, oleh kerana itu bahasa ini amat penting untuk dipelajari.  
10. Menyelia,mempraktikkan budaya kebersihan dan kekemasan
Ini adalah perkara yang teramat penting untuk dititik beratkan. Kebersihan dan kekemasan mempengaruhi kesihatan kita dan juga kehidupan sosial kita. Anak – anak perlu dididik sedari kecil tentang kepentingan kebersihan dan melatih mereka untuk sukakan kebersihan. Ini bukanlah perkara yang sukar kerana pelbagai aktiviti harian ini boleh dilakukan dalam suasana yang ceria dan menarik.
Luangkan masa untuk mengawasi anak – anak kita dari segi kebersihan dan kekemasan semasa;
  • Menggunakan bilik air
  • Mandi
  • Memberus gigi
  • Makan
  • Menyikat rambut
  • Memotong kuku
Sekali sekala, lakukan aktiviti gotong royong bersama – sama untuk memupuk semangat menjaga kebersihan pada diri mereka. Aktiviti memasak bersama juga salah satu dari idea yang menarik untuk dicuba.



SIKAP SEMULAJADI BAYI ANDA


Anda sebenarnya boleh mengenal sifat-sifat semulajadi bayi anda sejak ia kecil lagi. Sifat-sifat ini dilahirkan dan akan bersamanya sehingga dewasa. Walaupun begitu ini tidak bermakna ia tidak boleh berubah.

Ujian berikut anda boleh lakukan sendiri terhadap bayi anda. Perhatian lebih perlu diberikan kepada keputusan yang ekstrim pada sebelah yang rendah atau tinggi. Apa-apa di antaranya adalah tidak signifikan:

Aktiviti atau Tahap Tenaga
Rendah: Bayi tidak banyak bergerak, dan hampir tidak berkelip ketika anda membaca sesuatu kepadanya, menukar lampin atau meletakkannya di dalam kerusi bayi.
Tinggi: Memakaikan baju kepadanya adalah sesuatu yang agak mencabar kerana ia banyak meronta. Bayi anda sentiasa bergerak samaada tangan, kaki, kepala, atau berpusing-pusing di atas hamparan.

Ketegangan
Rendah: Bayi anda amat tenang hinggakan jiran sebelah rumah tidak pernah mendengar suaranya menangis. Anda sendiripun jarang mendengar bayi anda menangis. Ia lebih banyak senyum daripada ketawa atau hanya berbunyi dengan perlahan bila menangis.
Tinggi: Bayi anda seolah-olah hanya tahu melakukan tiga perkara, tidur, banyak ketawa dengan kuat dan meraung dengan kuat ketika menangis.

Sensitiviti
Rendah: Bayi anda tidak kisah lampin yang basah, suasana bising atau bau yang busuk. Ia boleh tidur di mana sahaja walaupun di tempat yang tidak selesa.
Tinggi: Bayi anda tidak boleh bertahan dengan keadaan yang tidak selesa walaupun kecil seperti sedikit basah atau bunyi yang lain dari biasa. Dia cepat rimas dengan suasana ramai orang atau keadaan yang berserabut.

Kebiasaan
Rendah: Anda menghadapi masalah merancang aktiviti harian anda kerana tiada masa yang tetap bayi anda mahu makan, tidur, buang air atau meragam setiap hari.
Tinggi: Anda sudah boleh mengagak waktu-waktu bayi anda melakukan semua itu setiap hari. Jadi perancangan jadual harian anda amat mudah.

Penyesuaian
Rendah: Dia mengambil masa menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan kalau boleh tidak mahu diubah kedudukannya. Dia merengek bila anda memindahkan ia ke tempat lain seperti dari tilamnya ke stroller. Bila sampai ke padang permainan, ia tidak mahu keluar dari stroller. Bila memindahkan kembali ke tilamnya juga akan menyebabkan ia merengek.
Tinggi: Bayi anda mudah menukar aktivitinya tanpa perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Apabila anda hendak keluar, ia tidak sabar mahu mengikut, dan apabila sampai ke padang permainan, ia tak sabar mahu keluar dari stroller.

Ketergangguan
Rendah: Apabila bayi anda melakukan sesuatu ia amat fokus, seolah-olah dunia sekelilingnya tidak wujud. Anda boleh keluar masuk biliknya tanpa perhatiannya terganggu.
Tinggi: Mudah terganggu dengan perkara lain. Contohnya, jika ia sedang diberi makan, tiba-tiba ada kakaknya mengganggu, ia tidak lagi berminat pada makanannya, tetapi berminat pula dengan perkara lain.

Iltizam
Rendah: Jika bayi anda tidak dapat memahami sesuatu alat mainan atau kemahiran dia akan membaling objek tersebut ke tanah. Ia mudah merajuk dengan perkara-perkara yang susah.
Tinggi: Ia akan membelek-belek permainannya atau sesuatu kemahiran sehingga berjaya. Ia lambat mengalah.

Perasaan Keseluruhan
Positif: Cepat ketawa ketika bermain “ciku-cak” atau “bok-bok pin” dan girang apabila melihat seseorang yang ia suka. Apabila ia mengangis bermaksud memang ia perlukan sesuatu yang penting seperti pertukaran lampin, susu atau pelukan.
Negatif: Bayi anda lebih terdorong untuk lebih banyak menangis atau bersedih daripada tersenyum atau ketawa. Ia selalu merengek walaupun telah kenyang, cukup tidur dan selesa.