No Giliran Anda

Sunday 17 June 2012

Guratan luka Erra Fazira




BAGAIKAN kejora malam, kilauannya indah tak pudar ditelan zaman. Begitu juga dengan primadona perfileman Melayu alaf baharu, Erra Fazira yang sudah hampir dua dekad menjadi kesayangan dunia hiburan.
Dilihat sebagai wanita penuh pesona dan teguh mendepani setiap belati yang menghiris bahkan pernah membuatkan tangisan gugur dari kelopak matanya, pemilik nama Fazira Wan Chik itu tidak pernah menyalahkan sesiapa. Seperti dalam hidup berumahtangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang kini masuk tahun kelima. Erra juga tidak habis-habis dihambat soalan tentang rumah tangganya yang dikatakan retak menanti belah.
“Kalau boleh, saya hanya bercerita perkara yang elok sahaja. Dalam dunia ini, semua orang mencari kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan jiwa, sama juga seperti saya,” ujar Erra sambil mengakui sedia maklum, umum banyak memperkatakan perihal hubungannya bersama suami.
Sejauh mana kebenaran spekulasi tentang krisis hubungannya dengan Emran tidak pula mahu diakui, namun kata Erra, bohonglah jika sesebuah perkahwinan itu tidak berdepan sebarang perbalahan.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak suami saya. Bagi dirinya, kami masih pasangan suami isteri. Mungkin dahulu kami dilihat ke mana sahaja bersama, sekarang kami jarang bersama ke mana-mana acara, itu pilihan kami sendiri,” katanya tidak mahu hal peribadinya terus-terusan menjadi inti perbualan
Terbaru, pemain karakter Tun Dr. Siti Hasmah dalam Teater Tun Siti Hasmah yang akan ke Istana Budaya itu, akan muncul dengan sebuah drama hebat berjudul, Parut Asyikin.
Itulah karya pertama yang menggandingkan Erra bersama aktor berkarisma tanah air, Eman Manan. Berpasangan sebagai suami isteri dalam karya arahan Sabri Yunus itu, satu persamaan yang dapat dikesan antara Eman dan Emran, masing-masing merupakan orang Terengganu.
“Sudah lama saya teringin beraksi di samping Eman tetapi apabila bersua muka di lokasi, saya diburu perasaan bimbang, terfikir bagaimanalah saya mampu untuk seimbangkan lakonan dengan aktor hebat.
“Drama ini mengisahkan kasih sayang antara Muas dan isterinya, Asyikin. Untuk menggambarkan perasaan kasih dan cinta itu, ada beberapa babak bermesra. Jujurnya, saya janggal tetapi terpaksa ketepikan perasaan itu kerana Eman sedang menjiwai watak. Saya harus pastikan lakonan saya nampak jujur dengan batas yang digariskan. Saya sedar dia juga kekok. Sebelum melakonkan babak itu, kami berbincang terlebih dulu untuk pastikan aksi itu nanti nampak jujur tetapi tidak berlebih-lebih.
“Paling gementar, babak saya kena memandikan Eman. Saya tak biasa buat begitu dalam hidup seharian, jadi memang kekok. Kaki saya tercucuk buluh tapi tak terasa sakit sebab terlalu gemuruh,” katanya menceritakan keterujaan menantikan siaran pertama Parut Asyikin malam ini di saluran Astro Citra.
Bakal menemui penonton pukul 10 malam nanti, drama yang membawa roh keagamaan separa epik itu membariskan pelakon lain seperti Heryanto, Along Zendy, Bohari Ibrahim dan Liza Abdullah.
“Berlakon bersama kelompok pelakon dan seniman sejati, membuatkan saya terbuka minda dan harus belajar menyesuaikan diri dengan ‘bahasa-bahasa’ seni yang mereka gunakan,” jelas Erra yang kelihatannya semakin menjadi pilihan Sabri Yunus selepas kejayaan telefilem Sanggul Beracun tahun lepas.

No comments:

Post a Comment