No Giliran Anda

Sunday 17 June 2012

Izinkan Dirimu Dibelai
Memang peminat buku lebih ramai wanita daripada lelaki. Inilah rumusan yang dapat saya buat saban tahun sempena menghadiri Pesta-pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Pada pesta-pesta seperti ini saya akan berada beberapa jam di booth Kumpulan Media Karangkraf tetapi pada tahun ini, saya memperuntukkan empat hari di sana.
Orang lelaki, jika ada pun mereka sekadar meninjau-ninjau dari satu booth ke satu booth, sedang tangannya berlenggang sahaja. Apabila diperkenalkan dengan penulis, kelihatannya seperti tidak mengenali mereka. Apa yang sebenarnya mereka cari di pesta buku?
Tidak dinafikan memang ada yang ulat buku, realitinya orang lelaki lebih gemar berpelesiran daripada benar-benar mencari buku untuk dibaca, dihayati, difahami lalu dipraktikkan. Tidak kurang yang merendah-rendahkan judul buku yang mereka lihat,
tergambar melalui riak wajah.
Hmmm, mungkin ada benarnya juga. Maka, tepatlah saranan Perdana Menteri, sudah tiba masanya penerbit-penerbit buku di negara ini mengeluarkan buku yang bermakna dan mampu merangsang minda selain dapat dibanggakan di persada antarabangsa.
Penerbit memang tidak patut berpuas hati sekadar menghasilkan buku ulang kaji, cerita hantu, cerita-cerita skandal lucah mahupun bacaan ringan semata-mata. Kena faham hasrat kerajaan kini untuk menekankan aspek modal insan berkaliber dan bertaraf global.
Syabaslah para lelaki yang pemilih soal judul buku yang ingin dimiliki dan dibaca. Tidak membaca sembarangan buku itu baik untuk memelihara minda daripada dicemari anasir-anasir yang membawa pemikiran tidak elok tetapi betulkah benar-benar prihatin atau sebenarnya langsung tidak kisah?
Suami di celah rak buku Dalam kebanyakan pesta buku, saya amat jarang didatangi oleh pasangan suami isteri yang sama-sama teruja untuk bertemu saya sebagai penulis sesebuah buku serta mendapatkan autograf. Selalunya si isterilah yang begitu teruja sedang suaminya berada jauh di celah-celah rak buku. Kadang-kadang apabila tajuk-tajuk seperti “Membina Unggul Lelaki” sememangnya sesuai untuk lelaki dan saya ingin menuliskan nama suami sebagai autograf, pantas si isteri memintas, “Letak nama saya Dr.”
Tahukah anda, filem lakonan seniman negara, Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee berjudul ‘Hang Tuah’ dan ‘Ibu Mertuaku’ antara yang paling gemar ditonton oleh peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 dari Rusia, Daria Kamyshnikova?
Ketika filem ini diterbitkan, orang tidak begitu kisah dengannya bahkan kritikan pun banyak, tetapi hari ini ia menjadi filem legenda yang diminati oleh seluruh lapisan masyarakat. Ditonton berulang-ulang kali, ia tidak mendatangkan jemu.
Melihatkan reaksi peserta dari Rusia ini, rupa-rupanya filem Melayu hitam putih telah sekian lama menjadi duta memperkenalkan bahasa Melayu kepada dunia. Ia tidak dihargai suatu ketika dahulu, tetapi berbeza sekarang ini.
Sesetengah buku hanya menerima kritikan pedas serta tidak dipedulikan tetapi tahukah anda pada pesta yang sama tahun lepas, saya dikunjungi sekumpulan warga India yang telah menjadi pembaca buku-buku saya sekian lama. Mereka sanggup menunggu lama untuk dapat berinteraksi bersama saya serta bergambar.
Sekurang-kurangnya buku ‘Belailah Kalbu’ buku ke-97 yang berjaya saya hasilkan membuka satu lagi lembaran baru dalam industri perbukuan negara sebab buku itu juga berjaya saya sampaikan secara peribadi kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Sememangnya orang yang menghargai ilmu sentiasa menghargai usaha yang menyumbang pada pembentukan minda masyarakat seluruhnya melalui pemikiran-pemikiran mereka yang mantap. Sayangi buku, sayangi ilmu. Izinkan ‘Belailah Kalbu’ membelaimu jua.

Sumber: Mingguan wanita

No comments:

Post a Comment