Apabila
kanak-kanak mula belajar berjalan mereka dipanggil “Toddler”. Selalunya
perkataan ini digunakan untuk kanak-kanak berumur 1 - 2 tahun. Fasa
“toddler”adalah paling penting di dalam kehidupan kanak-kanak. Pada
waktu perantaraan antara dunia bayi dan kanak-kanak inilah
mereka belajar dan membesar dengan banyak cara. Segala yang berlaku
kepada mereka amat bermakna. Setiap peringkat dan kemahiran yang
dikuasai anak-anak ini adalah permulaan kepada satu aras yang baru
Pembesaran
ini berlainan untuk setiap anak-anak. Setiap mereka ada jadual
perkembangan tersendiri. Pada masa ini kebanyakan mereka belajar
berjalan, bercakap, menyelesai masalah, berhubung dengan orang lain, dan
banyak lagi. Satu tugas mereka yang penting adalah untuk belajar
berdikari. Sebab itulah mereka selalu mahu melakukan sesuatu dengan
sendiri, mempunyai idea sendiri mengenai bagaimana sesuatu perkara mesti
berlaku dan mengatakan “tidak” banyak kali dalam sehari. Peringkat
ini dikenali dengan banyaknya perkembangan dari segi tumbesaran dan
perubahan variasi perasaan yang kadang-kadang kelihatan negatif. Mereka
sangat kuat semangat tetapi terbatas dari segi kemahiran. Sebab itulah
pada usia begini mereka selalu memaparkan kekecewaan dan perangai
meragam.
Kanak-kanak
pada umur ini penuh dengan tenaga dan idea untuk meninjau persekitaran
mereka. Anda hendaklah memastikan mereka boleh meninjau persekitaran
yang selamat. Mereka mahu menjadi bebas, walaupun masih memerlukan anda
dalam keadaan yang lain. “Toddler”
sangat mengambil berat terhadap kehendak dan idea mereka sendiri. Sebab
itulah kita jangan mengharap mereka akan berkongsi. Mereka
kadang-kadang menjadi kecewa kerana tiada kemahiran bertutur untuk
menyatakan kehendak mereka. Selalunya mereka juga menghadapi kesukaran
memisahkan diri dari ibubapa. Kebiasaanya antara umur 2 ½ hingga
3 tahun, kanak-kanak ini mula berminat untuk dilatih berdikari ke
tandas. Apabila melepasi umur 3 tahun mereka sudah boleh mula belajar
secara tersusun.
UMUR SETAHUN
Perkembangan Fizikal
– Mereka mungkin kurang makan tetapi lebih kerap. Mereka mula lebih
pandai makan sendiri walaupun selalu tertumpah atau comot. Kadar
tumbesan mereka akan lebih perlahan berbanding semasa bayi. Kebanyakan
akan boleh berjalan tanpa bantuan ketika berumur setahun 2 bulan.
Kebanyakannya boleh berjalan ke belakang dan menaiki anak tangga ketika
mencecah setahun 10 bulan. Mereka boleh minum dari cawan dengan sedikit
bantuan. Mereka juga boleh menconteng dan menyusun blok.
Perkembangan Sosio-Emosi
– Mengamuk dan meragam adalah kebiasaan. Mereka susah untuk berkongsi
mainan dan amat mengawal barangan mereka. Mereka mahu melakukan sesuatu
sendiri, tanpa bantuan. Mereka tidak ingat larangan. Perasaan mereka
berubah dengan pantas. Perasaan mereka selalunya sangat kuat tetapi
tidak berpanjangan. Mereka suka bermain sendirian atau di sebelah
kanak-kanak lain. Mereka menganggap diri mereka sebagai tumpuan semua
orang. Mereka mungkin sentiasa mahukan ibubapa. Mereka juga mula
memaparkan perasaan baru seperti cemburu, sayang, bangga dan malu.
Perkembangan Kepintaran
– “Toddler” akan menamakan objek atau orang yang mereka biasa. Kadar
perhatian mereka amat pendek. Mereka juga sentiasa curiga. Mereka selalu
menggunakan perkataan “tak”. Mereka menunjuk kepada objek yang mereka
mahu. Mereka boleh menyebut nama anggota badan dan gambar-gambar yang
sudah biasa. Mereka meniru bunyi binatang. Mereka boleh memegang pensil
dan menconteng. Mereka menggabung dua perkataan untuk membuat satu ayat
asas. Mereka menggunakan objek mengikut keperluan mereka. Mereka juga
mula memasukkan orang kedua di dalam permainan atau lakonan olok-olok
mereka.
UMUR 2 TAHUN
Perkembangan Fizikal
– Mereka boleh berjengket. Mereka mengikut bola dan menendang ke depan.
Mereka berjalan, berlari, memanjat, naik dan turun tangga sendirian dan
mengorek. Mereka boleh melompat dengan dua kaki. Mereka tidak selesa
dengan lampin basah atau kotor. Mereka memisahkan sesuatu objek dan
memasang semula. Mereka suka mengetat dan melonggarkan penutup balang
atau botol. Mereka juga selalunya amat aktif berbanding peringkat lain
di dalam umur mereka.
Perkembangan Sosio-Emosi
– Mereka selalu mempertahan keputusan mereka dengan berkata “tak”.
Mereka suka meniru kelakuan orang dewasa. Mereka mahu menolong
kerja-kerja rumah. Mereka mula bermain permainan mudah dan lakonan
olok-olok. Lakonan mereka selalunya pendek dan mudah. Ia selalunya tidak
melibatkan orang lain. Kadang-kadang mereka sengaja melakukan sesuatu
yang bertentangan dengan apa yang diarah. Selalunya mereka mementingkan
diri sendiri dan masih susah untuk berkongsi. Mereka suka bermain
berdekatan dengan kanak-kanak lain, walaupun tidak bermain bersama
mereka. Mereka tidak menolak untuk membantu. Mereka amat mudah kecewa.
Mereka juga masih perlu berasa selamat.
Perkembangan Kepintaran
– Mereka menyatakan perasaan dan kehendak. Mereka boleh mengikut
arahan-arahan ringkas. Tetapi mereka masih mempunyai jangkamasa
penumpuan yang singkat. Mereka menggunakan 3 atau lebih perkataan yang
digabung untuk membina satu ayat. Mereka boleh menyambung lagu-lagu
mudah. Mereka mempunyai kesukaran membuat pilihan, tetapi mereka tetap
mahu membuat pilihan sendiri. Mereka juga mula berfikir tentang sesuatu
sebelum melakukannya.
No comments:
Post a Comment